Tuesday 1 March 2016

CIRI CIRI ISTERI AHLI SYURGA

DIA ISTERI AHLI SYURGA (baju berbunga dari belakang dalam gambar)

Semalam, saya dan ramai lagi ke sebuah kampung di Pantai Mek Mas, Kota Bharu. Hajat di hati kami, insyaallah nak berjumpa mata dengan 15 keluarga asnaf untuk kami sampaikan sumbangan barang serta duit daripada penderma-penderma seluruh Malaysia.

Mungkin takdir saya.

Saya berjumpa dengan satu keluarga, yang juga tergolongan dalam kalangan asnaf kami di rumah mereka yang biasa-biasa. Si suami, kena stroke sudah 5 tahun lepas. Terlantar di atas satu katil di ruang tamu yang kecil sekali dengan dapur di sebelahnya, bersih sahaja di sekitar tempat tidur suami ini.

Nak cari sampah pun susah.


Tak mampu si suami beliau berjalan dan menguruskan diri sendiri selepas kena stroke, semua isteri yang uruskan bermula daripada makan, minum, tukar baju, tukar pampers, basuh najis depan belakang dan bagi ubat serta bawa ke hospital.
Semua si ibu/isteri ini yang uruskan. Dalam hati saya, iron lady sungguh.
Selepas perkenalkan diri seketika, saya meminta izin untuk periksa pakcik yang terlantar tidak berbaju dengan berkain pelikat ni. Si isteri mengangguk sambil tersenyum.

Bermula daripada kepala sampai ke kaki, terus pula kepada pemeriksaan paru-paru serta bedsore, semuanya normal dan bersih.
Paru-paru tak ada bunyi crepitation (jangkitan)
Di belakang badan tiada bedsore (kudis yang teruk)
Rambut bersih dan kuku dipotong

Bau pun wangi
Saya bagitahu ibu tadi, bagusnya makcik jaga suami, tak ada luka atau bedsore lansung selama 5 tahun bedridden.

Dia tersenyum sahaja, dan cakap ye makcik balik suami makcik selang 2-3 jam sekali.

Saya tak percaya lagi sebenarnya. Saya cek lagi sekali.

Biar betol, kali ni saya ke bahagian kaki, paha dan jari kaki. Semua sihat, normal dan tiada kudis nanah lansung.

Saya tanya si isteri,

"Macam mana makcik jaga hebat sangat ni? Tak percaya saya tak ada kudis lansung selama 5 tahun sakit ni"

Makcik ni jawab,

"Dulu mula-mula makcik jaga arwah ayah makcik, terlantar sakit bertahun-tahun juga macam ini lah. Kemudian selepas meninggal, makcik jaga ibu makcik pula yang sakit, pun terlantar begini.

Tapi sekarang, Allah hantar pula insan yang makcik sayang sakit stroke tak mamlu buat apa-apa cuma atas katil, suami makcik sendiri, makcik dah biasa jaga emak abah dulu"

Ya Allah.

Kalau begini lah akhlak si isteri yang sungguh-sungguh penyabar, uruskan semua makan minum kebersihan suami, ibu dan bapa ketika sakit, besarnya pahala makcik! 😔

Saya faham, nak jaga orang sakit bukan senang kan makcik? Nak balik suami yang berat, nak pegang lagi, nak suap makan minum lagi, nak tukar pampers, nak basuh dan lap najis, insyaallah makcik lah isteri dan anak syurga di sisi Allah.
Orang yang belum try jaga orang sakit, maybe fikir senang sahaja kan. Senang kalau sehari, dua hari ataupun seminggu.

Makcik ni 5 tahun! Dan dah insan ketiga beliau bersabar jaga penuh disiplin, tak ada bedsore lansung, orang medical mesti faham apa yang saya cuba sampaikan.

Insyaallah makcik, makcik lah isteri syurga, makcik diberi kesempatan oleh Allah untuk jaga tiga insan paaaling istimewa dan paaling tinggi darjatnya yang masih hidup, iaitu

Suami
Abah
Emak
Makcik mesti ahli syurga 😌

Berkali-kali saya puji makcik ini semalam, bagusnya makcik ya Allah, sabarnya makcik jaga, hebatnya makcik uruskan suami, makcik yang muka tenang dan banyak senyum ini, senyum sahaja kepada saya, dia angguk perlahan-lahan.

*si suami banyak kali terpaksa minum air kosong sahaja kerana tiada wang untuk beli Susu Ensure yang semua orang tahu mahal, makcik ini pula tak mampu nak beli sentiasa, air kosong lah kadang-kadang kepada si suami.