Friday 19 June 2015

Teguran bulan Ramadhan

Muhasabah daripada solat Jumaat.
Selesai solat, sambil-sambil duduk, aku lihat ke depan. Ternampak pelajar-pelajar tahfiz (yang masih kecil) keluarkan duit dari kocek jubah masing-masing untuk sedekahkan kepada masjid.
Pandang ke kiri pula, pakcik tua uzur berkain pelikat warna oren lama, yang solat duduk tepi aku tadi, keluarkan duit daripada sarung baju lusuhnya untuk diberi kepada lelaki yang berjalan membawa kantung derma masjid.
Rasa terketuk pintu hati. 
Aku tahu bulan Ramadhan bulan yang Rasulullah menjadi insan paling pemurah, tapi kenapa diri tidak ada rasa ingin lakukan?
Selepas keluar masjid, aku terus menuju ke kereta. Start sahaja memandu, belum sempat keluar daripada kawasan masjid, nampak sebuah kereta memberi 'signal' ke kiri, untuk mengambil pelajar-pelajar tahfiz dan hantar mereka ke asrama mereka. Selalu orang buat begitu, kasihan kepada mereka yang perlu berjalan hampir 1km. Hari panas terik di Kelantan, budak-budak tahfiz tu menutup kepala mereka dengan serban.
Dalam hati sekali lagi rasa, ni mesti Allah nak menegur untuk perbanyakkan amalan di bulan puasa. Sedekah dah la kurang. Masuk sahaja satu simpang jalan kecil, nampak 5 orang adik-adik tahfiz yang kecik berjalan di sisi jalan. Terus datang perasaan kasihan kepada mereka, balik pun bukan boleh makan, kena tunggu Maghrib jugak. Terus buka tingkap sambil menyapa untuk ajak naik sekali.
Bukan jauh sangat pun, dalam 5 minit sahaja daripada rumah, kasihan melihat mereka duk berjalan dalam panas dan menutup muka dengan serban sebab bahang matahari. Nak bukak radio dengan lagu takut lagu perempuan menyanyi, kang hilang hafazan nanya aku, terus borak dengan mereka pasal kampung dan belajar macam mana hehehe.
Saya suka dengan prinsip agama kita yang adil. 
Sesiapa sahaja yang membuat kebaikan, tidak kira ulamak, bangsawan atau rakyat biasa, walaupun mungkin kecil pada pandangan manusia, kita lakukan dengan penuh ikhlas, balasan di sisi Tuhan sangat besar. Ya saya akui, ada beza menderma dengan jumlah Rm1juta dengan Rm1.00, tapi agama juga suka dengan konsistensi. Mungkin adik-adik atau pakcik miskin tadi hanya menderma Rm1.00, tapi kalau dibuat dengan selalu, agama sangat suka.
Tidak semestinya kita perlu tunggu kita mempunyai harta yang banyak baru boleh bersedekah, atau menunggu bila sudah menjadi jutawan baru ingin memberi. Agama kata, apa sahaja yang kita mampu kongsi, bersedekahlah, walaupun bukan dalam bentuk wang. Kita boleh memberi dalam bentuk tenaga, masa atau mungkin membantu pelajaran kan?
Allah SWT tahu yang bukan semua daripada kita mempunyai rezeki yang sama daripada segi harta, ada yang bergaji Rm4000, ada yang bergaji Rm1000, nak menderma dalam bentuk kewangan masing-masing ada limit. Allah Maha Mengetahui sebab Dia yang bagi rezeki. 
Sebab itu prinsip agama kita adil, sikit mana pun, dengan cara apa pun kita memberi, semua itu dikira sedekah di sisi Tuhan yang Maha Besar. Bukan jumlah sahaja yang diambil kira, tapi kesanggupan kita dalam memberi pun Allah kira. Subhanallah, Maha Adilnya Tuhan Azza Wajalla. 

No comments: