Tuesday 7 July 2015

Adik highway

Sayu sungguh tengok adik-adik lelaki duduk bersila tepi highway Pasir Mas-Rantau Panjang jual kuih-muih. Biasanya akan mereka letak satu tiang kayu berdiri, ada paku-paku diketuk di sisi kayu, kuih digantung begitu sahaja dalam plastik-plastik. Yang saya perasan, mereka akan duduk di tepi jalan sambil menunggu mana-mana kereta berhenti.
Tadi pula semasa saya memandu, hari hujan renyai-renyai. Baru lepas membawa ummi pergi ke kedai hardware di Pasir Mas untuk membeli seramik.
Bila saya memandu, selalu saya lirikkan mata ke tepi tingkap kereta untuk melihat adik-adik berjiwa besar ni. Kalau musim nak dekat raya, lagi ramai adik-adik akan keluar daripada kampung-kampung dan menjual apa sahaja mereka boleh jual, contohnya kuih, ikan darat dan buah-buahan.

Senyum saya sambil memandu.
Ada adik yang berselindung di bawah pokok dan ada yang menumpang teduh di bawah bonet van pakcik jual daging. Basah jugak nampak-nampak tu. Iya lah, hujan kan.
Raya dah nak dekat, lebih kurang 2 minggu lagi moga-moga adik dah ada baju raya ye.

Tak semua orang dapat merasai pengalaman menolong ibu bapa untuk sesuap nasi bukan? Ramai daripada kita yang boleh hidup senang tanpa perlu bekerja untuk sesuap nasi, makanan untuk adik-beradik. Tak saya nafikan, ada daripada kita yang datang daripada keluarga susah juga, saya ucapkan tahniah kalau anda memang selalu membantu ibu bapa ketika tidak bersekolah.

Pengalaman pahit sedemikian lah sebenarnya mengajar anak-anak untuk lebih bersyukur dan berusaha untuk meneruskan hidup. Tak mampu saya fikirkan, macam mana kalau aku tidak bekerja harini, akan memberi 'effect' kepada rezeki keluarga secara lansung? Itu sebab kita tidak pernah berada dalam zon susah sedemikian.

Saya 'adore' adik-adik sebegini, saya suka melihat mereka bekerja untuk bantu keluarga, sebab satu hari nanti kalau mereka jadi orang besar, seperti pak-pak menteri, mereka akan fahami betapa peritnya penderitaan rakyat miskin.

Tahniah abang ucapkan, sebab dah tolong mak ayah pada usia muda. Tak semua kawan-kawan adik guna masa sebaik itu di rumah.

P/s: Gambar contoh, keadaan di Bangladesh

No comments: