Thursday 16 July 2015

UNTIL I REALIZE, HE BOUGHT FOOD FOR THE GUY OUTSIDE THE STALL

Terbangun awal pada 1 Syawal tahun ni.

Selepas uruskan diri, terus ke masjid untuk solat Subuh, disebabkan tok imam sampai lewat, bertakbir lah sendirian dulu. Tiba-tiba rasa tekak kering dan pahit, dalam hati kata,

"Jap lagi nak gi beli Cadbury Chocettes lah dekat kedai 7 Eleven"

Habis solat, berdoa sendiri, terus ke kedai.

Sampai sahaja, dalam gelap dan sejuk subuh, ternampak seorang lelaki mundar-mandir depan kedai tersebut. Dalam samar-samar itu, dalam benak saya, macam orang gila sahaja, pakaiannya tak terurus. Saya terus melangkah mendekati kedai, kebetulan lantai di depan kedai baru sahaja dimop.

Pekerja lelaki lebih kurang baya saya, keluar dan memandang orang gila tadi.
Terus cepat-cepat dia masuk kedai, saya perhatikan sahaja sambil mengekori dari belakang.

Teriak lelaki tadi kepada kawannya,
"Aku nak bayar roti ni satu, dan air Pepsi ni satu, cepat"

Saya pun terpandang lah, sebab macam kelam-kabut sikit.

Selepas pekerja kedai tersebut bayar sahaja, terus dia keluar dan masuk kembali dengan tangan kosong, tidak berplastik lagi.

Kawan sorang lagi tanya,

"Siapa di luar tu?"

Selambar je abang yang belanja roti dan air tu jawab,

"Orang gila agaknya"

Saya dengar sahaja perbualan mereka. Rasa kagum dengan jiwa prihatin anak muda seperti beliau, pagi-pagi Syawal sudah sedekahkan makanan dan minuman kepada insan berkenaan. Pagi-pagi sudah rasa nak mengalir air mata.

Erti raya, bukan semata-mata kita bersuka-ria sahaja bersama sanak-saudara, tapi kalau kita dapat memberi dan mengingati insan-insan yang kurang berkemampuan, masyaallah, hati ikhlas dan murni sungguh.

Akhir sekali, saya teringat salah seorang lelaki bekas banduan atau bekas tempat pemulihan akhlak pernah tulis, emak ayah/adik beradik/kawan-kawan yang ada anak-beranak serta kawan di penjara atau pusat serenti, pergilah jenguk mereka di pagi 1 Syawal. Walaupun sekejap dan tak bawa apa-apa pun, mereka menangis menunggu keluarga datang. Keras mana pun hati anak kita, mereka masih ada perasaan sebagai anak kan? Mereka tetap anak kita.

=(

Seteruk mana pun anak kita tu, katanya sebagai bekas banduan, tidak ada yang mereka (anak-anak nakal) harapkan selain daripada ada yang menjenguk sekejap. Ini kan 1 Syawal.

Salam 1 Syawal semua!


By: DrJambang

No comments: